
Khamis, Disember 03, 2009
MUNCULNYA SANG KELAWAR KESIANGAN
LAHIRNYA SANG KELAWAR KESIANGAN
TIDAK terasa musim mengalir deras, meninggalkan hari-hari yang berlalu di hulu sejarah. Demikianlah dalam diam yang senyap dan riuh yang bergemuruh, tahun ini telah sesuku abad saya terlibat dalam penulisan puisi. Sejak awal tahun 1980-an, saya mula bertatih mengenal kehalusan rasa, keindahan bahasa dan ketajaman minda pada sekuntum bunga bernama puisi yang seronok dan bahagia ketika dipetik dan dihayati. Sepanjang tempoh tersebut saya telah menghasilkan tiga buah kumpulan puisi iaitu Seekor Kelawar di Kamar Pengantin (GPPS, 1989), Mengenal Yang Asal (PUTERA, 2000) dan Membentuk Elok di Teluk Esok (DBP, 2001). Namun sayangnya dua kumpulan puisi awal tersebut tidak lagi berada di pasaran malah cetakannya juga terhad. Masih ramai lagi teman penulis dan peminat sastera yang tidak berkesempatan mendapatkan kedua-dua kumpulan puisi berkenaan. Hal ini telah mendorong saya untuk menerbitkan semula puisi-puisi yang dipilih daripada kumpulan puisi Seekor Kelawar di Kamar Pengantin dan Mengenal Yang Asal. Saya sertakan juga puisi-puisi daripada kumpulan puisi Membentuk Elok di Teluk Esok dan beberapa buah puisi yang pernah dimuatkan dalam antologi puisi Simfoni Dari Utara. Buat melengkapi dan sebagai tanda kenangan sesuku abad diri ini meredah rimba puisi yang pekat, dimuatkan juga dua buah puisi awal saya dan sembilan buah puisi terbaru yang tidak pernah dibukukan sebelum ini.
Kumpulan puisi Sang Kelawar Kesiangan ini merupakan rakaman perjalanan dan perkembangan dunia penulisan puisi saya yang gundah tetapi indah dan yang sepi tetapi bererti.
Gundah ketika menghamilkan ilham dan indah semasa melahirkan puisi. Sepi saat menulis puisi dan penuh bererti apabila karya dihayati dan dinikmati oleh para pembaca.
KELAHIRAN SAJAK
Sel-sel aneh berkumpul, menggerakkan saraf
Rasa halus, terjelmalah air hikmat di dalam gelas
Imaginasi. Kesementaraan harus dipergunakan setepat
Jarum jam. Segera kuminum air hikmat itu,
Keajaiban pun melahirkan sajakku.
Ketika idea dan ilham berkunjung, fikiran saya sering ditumbuhi oleh pelbagai bunga kata yang bakal membuahkan makna yang cukup indah pada tanggapan saya. Saat itu amat berharga sebenarnya. Segera saya petik dan tuliskan di dalam buku catatan sebelum ia hilang tanpa jejak. Kemudian lahirlah puisi.
Puisi merupakan perasaan dan pemikiran yang diluahkan dengan penuh keindahan dan kebenaran.
KAULAH SAJAK
Kaulah sajak
perawan menawan berniah jernih
berkebaya sutera kata-kata terpilih
asli tubuhmu tumbuh
membentuk lekuk pengalaman jauh
suara emosimu terkawal
diimbangi cekal tapisan akal
dengan berbekalkan selendang keyakinan
kaumelangkah penuh bergaya
di setiap negeri kehidupan
menayangkan lenggang tari kebenaran
dalam gemalaian keindahan.
Keindahan tanpa kebenaran merupakan hiasan kosong dan kebenaran tanpa keindahan adalah realiti yang beku dan membosankan. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan, barulah puisi mampu berperanan sebagaimana wajarnya. Begitulah hakikat puisi yang saya pegang dan yakin serta menjadi cermin kepada proses penciptaan karya saya.
Akhirnya saya menyedari dan menginsafi bahawa keindahan itu sama ada dalam bentuk rupa, suara, bahasa dan apa saja, sebenarnya merupakan bayang–bayang untuk kita belajar mengenal, mengasihi, mengabdikan diri dan mengagungkan Dia pemilik mutlak asal segala keindahan itu.
MENJEJAK PUNCAK SAJAK
Hanya Kau yang kutemui
ketika menjejak puncak sajak
semakin jauh kumendaki
bertambah tinggi Kau berdiri
pemilik seluruh alam dan perbendaharaan
akar kepada pohon kata-kata
perdu untuk setiap makna
pangkal yang tidak berawalan
hujung yang tidak berkesudahan
dan aku sebagai penyajak
cumalah bayang-bayang
kepada kehendak dan gerak
pemilik segala keindahan.
Selasa, Januari 27, 2009
Isnin, Januari 26, 2009
Isnin, Januari 19, 2009
KELAWAR BERTUKAR
dari gua dendam
berlegar-legar dan hinggap di lembah gaza
kemaruk darah merah kaum palestina
yang dihisap penuh selera
dirangsang aroma kekejaman bangsa
kelawar tidak pernah memilih mangsa
warga tua yang tak terdaya
anak-anak yang ingin dimanja
atau lemah-lembut seorang wanita
di daerah gaza yang terbakar
kelawar telah bertukar
menjadi drakula
hantu yang paling hina
di muka dunia.
Abizai
Miri, Sarawak.
Januari 2009.