Sabtu, Disember 27, 2008

RAHSIA BERSELUBUNG

Di mata ramai
rahsia hakiki berselubung
di hati yang mendung
cahaya tak sampai

terlalu sedikit
yang dapat melihat
bintang pilihan gemerlap
di celah bimasakti malap
bukan dengan fikiran
yang diraut tajam
tidak dengan kata-kata
yang berinti bijaksana

apabila hijap sudah tersingkap
nampak semua di sebalik nyata
kudrat-Nya menawan puncak
iradat-Nya menguasai segala

Abizai
Miri.

Khamis, November 13, 2008

MENJEJAK ILHAM DI DUNIA GUA


para penulis Sarawak mendampingi penyair besar Malaysia, Dato' Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala. Kemala banyak mengasuh dan mengangkat penyair Sarawak di peringkat Nasional.

MANUSIA SASTERA MENYULAM MESRA

BERSAMA BARISAN PENYAIR DUNIA DARI THAILAND, KOREA, CHINA DAN MALAYSIA

FESTIVAL PUISI WARISAN ANTARABANGSA 2008


bangga menakluk gua purba, biarpun penat dan sengal menawan seluruh anggota.

Khamis, September 11, 2008

AKU HANYALAH BAYANG-BAYANG


“Dan bukan kamu yang melempar, ketika kamu melempar,
tetapi Allah yang melempar”. (Surah Al-Anfal: 17)

Tanpa kehendak-Mu
tiadalah kehadiranku
tanpa kewujudanku
Kau tetap yang Satu

aku hanyalah bayang-bayang
tak mungkin mampu bergerak
tanpa tubuh-Mu yang bertindak
aku hanyalah layang-layang
tak mungkin dapat melayang
tanpa talinya Kau yang memegang

aku hanyalah si buta
yang melihat cahaya dengan mata-Mu
aku hanyalah si pekak
yang mendengar suara dengan telinga-Mu
aku hanyalah anak patung
yang merasakan hidup dengan sifat-Mu

aku cumalah sang alat
yang Kau berikan anak kunci
untuk menari ligat
dan sering kali anak kunci itu patah
dan sang alat kembali kaku
kerana ketetapan-Mu
tak mungkin berubah.

Abizai
Miri

Selasa, Julai 08, 2008

BIODATA ABIZAI

Abizai atau Abizai Abi merupakan nama pena bagi Zainal Abidin Hj. Suhaili. Dilahirkan di Kuching, Sarawak pada 19 Disember 1966. Mendapat pendidikan sehingga lulus SPM daripada SMK Dato Permaisuri, Miri. Memperolehi Diploma Pengurusan Sukan pada tahun 2004 (PPJSKM). Mula menulis sejak awal tahun 1980 an. Menulis di dalam bidang puisi, cerpen dan rencana sastera. Karya-karyanya banyak tersiar di pelbagai akhbar dan majalah tanah air seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Utusan Sarawak, The Borneo Post, Malay Literature dan lain-lain lagi. Kumpulan Puisi perseorangan yang pernah diterbitkan berjudul Seekor Kelawar Di Kamar Pengantin (GPPS, 1989), Mengenal Yang Asal (PUTERA, 2000) dan Membentuk Elok Di Teluk Esok (DBP, 2001) manakala antologi bersama pula ialah Randau Di Pulau, Dongeng Kembara, Perkasihan Musim, Satu Perasmian, Simfoni Dari Utara, Cetera ’94, Menganyam Kedukaan, Peta Seniman, Gema Membelah Gema 12, Gema Membelah Gema 13, Gema Membelah Gema 14, Gema Membelah Gema 15 Kota Asas Temadun Bangsa, Caturangga, Pelagus, Wajah Kita, Nyanyian Pulau-pulau, Ratib Seribu Syair, Antologi Sasterawan 2005, Penangkap Rama-rama dan Kelawar, Sejadah Hijrah, Belati Cinta Zulaikha, Emas Tempawan dan Alam Yang Hijau.

Beliau bergiat aktif di dalam Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dan kini memegang jawatan Ketua I. Pernah memenangi Hadiah Perhargaan Penulis Sarawak (genre puisi) pada tahun 1991, 1995, 1996, 1997,1998, 1999, 2000, 2003, 2005 , 2006 dan 2007, tempat pertama Hadiah Galakan Sastera Kenyalang (genre puisi) pada tahun 1993/1994, tempat ketiga Peraduan Menulis Puisi Anti-Dadah 1994, tempat ketiga Peraduan Menulis Puisi Bulan Bahasa 1997, menerima Hadiah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak (genre puisi) daripada Kerajaan Sarawak pada 1997, Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001 melalui Kumpulan Puisi Membentuk Elok Di Teluk Esok Hadiah Penghargaaan Kategori Puisi, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 & 2007, Hadiah Saguhati Sastera Islam 2005 dan Hadiah Penghargaan Menulis Puisi Kepenggunaan 2006. Pernah mewakili Malaysia ke Program Penulisan MASTERA : Puisi di Bogor, Indonesia pada bulan Ogos 2002 dan Festival Puisi Warisan Antarabangsa di Gua Niah, Miri, Sarawak pada 8 - 11 November 2008.

Di samping menulis, beliau juga giat mencipta dan menyanyikan lagu-lagu puisi bersama kumpulannya, Kelang-Kelus. Kini beliau bertugas dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad, Miri.

Alamat :
d/a Bank Muamalat Malaysia Bhd.,
Lot 433-434, Jalan Bendahara, 98000 Miri.
Tel : 013-8412852, 085-420113.

e-mel: puteramiri@yahoo.co.uk.
abizaiabi@gmail.com
blog lain : puteramiri.blogspot.com